JJ 104 Topic 3


BAB  3  :  PENGUKURAN

3.0          Pengenalan

Dalam bidang ketukangan, istilah menanda bermaksud membuat tanda di atas permukaan logam yang akan dimesin atau digegas. Ini termasuklah menandakan garisan, bulatan, lengkuk, jarak dan juga pusat. Tanda yang telah dibuat digunakan sebagai panduan apabila hendak memesin atau memasang benda kerja. Dengan menanda, kita dapat mengetahui berapa banyak bahan yang harus dibuang atau bahagian mana yang harus dipotong atau dibuat lubang. Butir-butir dan spesifikasi tandaan ini biasanya didapati dan dipindahkan daripada lukisan atau cetakan biru keatas permukaan bendakerja .
Tahukah anda bahawa setiap penandaan yang dilakukan memerlukan alat-alat pengukuran dan pengujian, dimana tanpa alat-alat ini kerja yang dilakukan mungkin kurang berkualiti dan tidak menepati spesifikasi atau piawaian yang dikehendaki. Oleh yang demikian didalam unit 4 ini anda akan dapat mengenali alat-alat pengukuran dan memahami kepentingan alat pengukuran dalam bengkel mekanikal.

3.1                Alat-Alat Pengukur Asas

Terdapat berbagai-bagai jenis alat pengukur asas yang biasa digunakan dalam kerja-kerja menanda.Di antaranya ialah pembaris keluli, Sesiku bergabung, angkup luar dan angkup dalam, jangka tolok, penubuk, penggarit, sesiku-L, sesiku serong, jangka sudut, jangka sudut vernier dan tolok permukaan.

                i.              Pembaris Keluli
                               
Pembaris keluli diperbuat daripada keluli kalis karat atau keluli alat. Skalanya dalam unit inci dan metrik. Pembaris keluli metrik boleh didapati dalam berbagai-bagai ukuran panjang, iaitu daripada 6mm hingga 1meter, bagaimanapun jenis yang lazim digunakan berukuran 150mm hingga 300mm.
Pembaris keluli metrik disenggatkan kepada ½ dan 1mm, sementara pembaris keluli inci dibuat senggatan dalam pecahan dan perpuluhan. Pecahan yang, biasa ialah 1/64, 1/32, 1/16 dan1/8 inci. Pembaris jenis perpuluhan pula membolehkan pecahan yang lebih kecil daripada 1/64 inci dibaca, kerana pembaris jenis ini mempunyai senggatan 0.100(1/10 inci), 0.050(1/20inci), 0.020(1/50inci) dan 0.010(1/100inci). Rajah dibawah menunjukkan nilai tiap-tiap satu senggatan yang terdapat dalm ketiga-tiga jenis ukuran, iaitu metrik, pecahan dan perpuluhan.

            ii.            Angkup Luar
               
Angkup luar mempunyai kaki yang bengkok ke dalam. Ia samada jenis bercantum ketat ataupun jenis bercantum pegas. Kegunaan angkup luar adalah untuk mendapatkan dimensi sebelah luar bendakerja bulat atau rata, ketebalan dinding silinder dan bahagian benda kerja bertingkat.

           iii.           Angkup Dalam

Binaan dan bentuk angkup dalam hampir serupa dengan angkup luar kecuali ia mempunyai kaki yang bengkok keluar. Kegunaan  angkup dalam pula adalah untuk mengambil ukuran pada sebelah dalam seperti garis pusat batang paip, garis pusat lubang, lebar lurah, lengkang lurah alur kunci dan sebagainya.


 3.2          Mikrometer

Mikrometer merupakan alat pengukur jitu yang lazimnya digunakan dalam bengkel mesin kerana ia dapat mengukur ukuran-ukuran yang paling kecil dengan tepat. Terdapat berbagai jenis mikrometer yang biasa digunakan, antaranya ialah :

i.                     Mikrometer luar
ii.                    Mikrometer dalam
iii.                  Mikrometer tolok dalam


Mikrometer boleh dibaca dengan dua kaedah iaitu dalam unit metrik dan unit imperial. Biasanya ukuran yang paling kecil yang boleh dibaca oleh mikrometer ialah 1/100 mm(0.01). Manakala mikrometer inci pula boleh membaca sehingga 1/1000 inci (0.001inci) dan 1/10000 inci (0.0001 inci). Terdapat tiga saiz micrometer yang biasa digunakan untuk kesemua jenis-jenis mikrometer di atas iaitu:

i.                     Mikrometer 0-25mm
Muka andas dan spindal tertutup rapat apabila angka sifar pada laras sejajar dengan angka sifar pada bidal
dan bacaannya ialah 0mm.

ii.            Mikrometer 25-50mm
Walaupun angka sifar sejajar antara satu dengan yang lain tetapi jarak muka ukuran ialah 25mm dan bacaan bermula daripada 25mm.

iii.           Mikrometer 100-150mm
Bacaan untuk mikrometer ini bermula daripada 100mm.


3.2.2           Cara Menggunakan Mikrometer

Cara menggunakan mikrometer ialah dengan mendapatkan tekanan mengukur dengan betul, elakkan memutar bidal berlebihan. Sebaliknya dapatkan rasa sentuhan yang betul. Mikrometer hendaklah dipegang pada tapak tangan dan diapit dengan jari kelingking atau jari manis. Biarkan ibu jari dan jari telunjuk bebas memutarkan bidal untuk melaraskan spindal. Bendakerja hendaklah diletakkan diantara permukaan andas dengan spindal. Putar bidal sehingga kedua-dua muka ukuran itu menyentuh bendakerja. Untuk merasa sentuhan, gerakan kehadapan atau kebelakang perlahan-lahan.


3.3 Angkup Vernier

 3.3.1           Prinsip Asas Skala Vernier

Skala vernier digunakan untuk membolehkan kita membaca tanpa teragak-agak sekiranya ukuran itu terletak diantara dua tanda senggatan pada satu-satu skala. Oleh itu angkup vernier mestilah :
i.                     mempunyai dua skala iaitu skala utama dan skala vernier.
ii.                    senggatan pada skala utama dibuat lebih besar daripada skala vernier.
iii.                  Perbezaan antara skala utama dengan skala vernier merupakan bacaan yang paling kecil yang boleh dibuat.

3.3.2       Cara Menggunakan Angkup Vernier

Kelebihan menggunakan angkup vernier dengan mikrometer ialah dimana mikrometer hanya boleh membuat satu bahagian bacaan sahaja manakala angkup vernier tiga bahagian bacaan iaitu bacaan luar dan dalam bendakerja, seperti diameter dalam dan diameter luar, lebar alur dan tebal bendakerja. Manakala fungsi ketiga adalah untuk mengukur dalam atau tinggi benda kerja.

Cara penggunaan angkup vernier sedikit berbeza dengan mikrometer dimana jari kelingking atau jari manis tidak perlu diapit pada bingkai kerana angkup vernier tidak mempunyai bingkai.kedua-dua rahang angkup vernier perlu dirapatkan pada bahan ukuran dan dengan perlahan-lahan diputarkan sehingga sedikit rahang telah menyentuh bahan ukuran, kemudian skru pengunci dikuncikan supaya nilai bacaan tidak berganjak.

3.3.3       Bacaan Dan Lakaran Angkup Vernier

Kaedah membaca angkup vernier metrik dengan angkup vernier inci adalah sama cuma nilai bacaannya sahaja yang berbeza.

i.              Angkup Vernier Tentukuran 0.02mm

Skala utama disenggatkan kepada 1mm bagi tiap-tiap satu senggatan dan dinomborkan pada tiap-tiap 10 senggatan iaitu 10, 20, 30 dan seterusnya. Skala vernier pula panjangnya 49mm dan disenggatkan kepada 50 bahagian yang sama dan sejajar, senggatan yang ke 50 skala vernier akan sejajar dengan senggatan ke 49 pada skala utama. Untuk mengetahui perbezaan nilai antara satu senggatan skala utama dengan skala vernier, maka tolakkan 1mm (nilai 1 senggatan pada skala utama) dengan nilai satu senggatan pada skala vernier. Nilai satu senggatan pada skala vernier ialah :

                                50 senggatan skala vernier                =              49 mm skala utama
                                1 senggatan                                          =              49/50
                                                                                                =              0.98 mm.
Perbezaan nilai senggatan                 =              1 mm – 0.98 mm
                                                                                =              0.02 mm

Oleh itu, nilai setiap senggatan pada skala vernier        =             0.02 mm.


         ii.            Angkup Vernier Tentukuran 0.05 mm

Skala utama disenggatkan kepada mm bagi tiap-tiap satu senggatan dan dinomborkan pada tiap-tiap 10 senggatan iaitu 10, 20, 30 dan seterusnya. Skala vernier pula yang panjangnya 19mm, disenggatkan kepada 20 bahagian yang sama. Apabila angka sifar di kedua-dua skala diletakkan pada kedudukan yang sejajar, senggatan ke-20 pada skala vernier akan sejajar dengan senggatan ke-19 pada skala utama. Untuk mengetahui perbezaan nilai bagi senggatan skala utama dengan skala vernier, maka tolakkan dengan 1mm (nilai senggatan pada skala utama) dengan nilai satu senggatan pada skala vernier. Nilai satu senggatan pada skala vernier ialah:

                                                20 senggatan skala vernier                =              19mm skala utama
                                                1 senggatan                                          =              19/20
                                                Perbezaan nilai senggatan =              1 – 0.95mm
                                                                                                                =              0.05mm

Oleh itu, nilai setiap sengagatan  pada skala vernier  =  0.05mm.


 3.3.4       Alat Pengukur Lain Yang menggunakan Prinsip Vernier
           
                Selain angkup vernier, terdapat juga alat-alat pengukur yang lain juga mengambil skala vernier bagi membolehkan mengambil ukuran yang lebih kecil seperti; jangka sudut vernier, tolok tingi vernier, tolok dalam vernier, tolok vernier gigi gear dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment